Khamis, 14 Mei 2020

Melaksam Homemade Di Dapu


Hahaha... Headline tak menahan. Ini semua poyo belaka, tapi kalau tak poyo tak jadi. Dok berangan semata, alamatnya masuk angin keluar kentut ajelah. Wakakaka.

Sebenar-benarnya, dah lama sangat nak cuba buat Laksam sendiri. Koleksi resipi laksam tak tahu berapa banyak dalam folder note, buatnya haram sekali. Kesudahnya, beli dan beli. Sedih!

Bagai dirasuk hantu terlebih vitamin, bersaunalah aku di dapur kecilku. Sambil-sambil garu kepala, tak sangka menjadi juga Laksam Homemade buatanku sendiri.

Ya Tuhan, rasa nak sujud syukur atas lantai dapur dek teruja yang menguasai diri. Serius ni, weh. Tapi, jujur aku cakap, nak buat laksam ni kalau kau tak cukup rajin dan kental, toksahlah. Buat membazir bahan je. Tepung bukan murah.

Resipi, aku kutip satu dari banyaknya dalam koleksi yang disimpan. Tengok bahan dan cara buat, macam senang. Hakikatnya, tidak ye. Membuatnya perlukan kemahiran tersendiri yang hanya akan kau dapat daripada cuba buat, cuba buat dan cuba buat lagi. Tak boleh putus asa.

Aku sendiri, 2-3 kali percubaan melayangkan adunan laksam atas lapik kukusan, sungguhlah... Rasa nak menangis sebab nampak macam tak akan menjadi aje. Ada tang kering permukaannya. Ada ayang patah lepas digulung.

Cobaan...

Tak apa, tak cuba tak tahu.

Jadinya, aku berazam untuk cuba lagi. Bila? Tunggulah kerajinan tahap menara KL datang dalam merasuk wahahaha.

Nah, resipi kalau nak cuba buat sendiri. Pesanan aku, sila bertabah ye. Sabar itu kunci kejayaan melaksam hahahaha.

Resipi Laksam.

Bahan laksam:
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3 cawan air panas (baru masak)
2 cawan air (sejuk biasa)
Secubit garam
Minyak untuk sapu loyang laksam

Caranya buat:
1. Panaskan periuk kukusan.
2. Dalam mangkuk besar, campur air panas dan air sejuk. Kemudian masukkan garam, tepung beras juga tepung gandum. Gaul sehingga sebati, tapis.
3. Sapu loyang dengan sedikit minyak.
4. Tuangkan adunan laksam (jangan tebal atau nipis sangat).
5. Kukus sehingga adunan laksam masak (nampak menggelembung macam jerawat).
6. Tunggu sejuk sikit, gulung.

** Kalau permukaan laksam nampak kering, itu tandanya terlebih kukus.
*** Kalau laksam patah/pecah selepas digulung, mungkin kurang air dan terlebih tepung.



Adunan laksam, tak cair tak pekat. Entah, aku pun keliru. 
(Tepung beras, tepung gandum, secubit garam.)


Dah sejuk boleh gulung.



Selepas 2-3 kali patah, ini nampak macam menjadi. 
Taraaa... Alhamdulillah, tak sia-sia projek melaksam.


Ulam, pelengkap laksam.


Ini kalau tak ada, memang tak 'mari' dan tak padulah laksam.
Sambal ni sengaja kasi pedas (cili kering, belacan dan garam).


Kuah Laksam (Ikan Sardin segar -rebus, santan pekat, 
bawang merah, halia, lada hitam, garam, gula dan asam gelugor)



Bahan Kuah Laksam:
8 ekor ikan sardin segar, rebus dengan garam dan asam gelugor
Santan secukupnya
5 ulas bawang merah
Sedikit halia
Sedikit lada hitam
2 keping asam gelugor
Gula dan garam secukup rasa

Cara buat:
1. Asingkan isi ikan dan tulang, kisar halus.
2. Tumbuk atau kisar bawang bersama halia dan lada hitam.
3. Dalam periuk, masukkan isi ikan, bahan tumbuk, santan, asam gelugor dan air secukupnya.
4. Apabila kuah mendidih, padamkan api. Bubuh garam dan gula secukup rasa.

Bahan sambal:
Cili kering, rebus
Sedikit belacan, dibakar
Sedikit garam

Cara buat:
Tumbuk atau kisar cili bersama belacan dan garam (tanpa air).




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya bebelan tentang cerita, rasa yang pernah kita punya. Mungkin sama, cuma tak serupa.


NIAN JIWA

YANG LAINNYA