Rabu, 23 Disember 2020

Galau Mencari Makna

Sibuk bercampur emosi yang tidak ketahuan.


Ada waktu-waktu, mahu aku hamburkan semua. Tetapi, tetap juga aku pilih pendam saja.


Biarlah.


Biarlah aku saja menelannya bulat-bulat.


Biar dulu, mungkin belum masanya. Atau memang tak perlu itu aku lakukan.


Tatkala galau mencari makna atas segala sakit yang bersangatan ini, muncul sesuatu yang bisa sedikit menceriakan hari-hari muramku.




Melayan keletah mereka mengukir senyum dibibirku, memadai.

Ini sudah cukup buat seorang aku yang sekian kalinya dirasuk galau.


Nanti kemudian aku fikirkan, apa maknanya semua kesakitan ini.

Buat sekarang, aku mahu 'menumpang' seronok' dalam drama mereka ini.




Simple tetapi berbekas di hati.

Terima kasih kalian semua di #backstreetrookie life 💝💞💖💗



Isnin, 21 Disember 2020

Sedar

 Aku tulis ini,


Buatmu daripada aku yang bukan siapa-siapa dalam hatimu.


Hadirku tak pernah memakna apa dalam hidupmu.


Sekadar pelepasan bosanmu.


Sekadar hanya memenuhi seketika harimu yang kosong.


Sekadar pembalut luka hatimu yang dirabak dia.


Aku, tidak pernah memakna apa-apa.


Sekadar hanya, pelepas kecewamu kepadanya.


Aku, yang bukan siapa-siapa dalam hatimu.

Sabtu, 19 Disember 2020

Rindu

Foto: Pinterest

Lama.


Berjeda.


Aku renung muka di cermin ... Ah, nampak jauh sangat bezanya dengan aku yang dulu.


Air muka aku sekarang nampak tenang, tapi disebaliknya 'kelam'. Tak ada seri, ghaib.


Aku belek setiap inci di muka, dah semakin bertambah dot...dot...dot tak sepatutnya. Mana datang jeragat ni, sedangkan zaman MCO ni boleh kata aku jarang sangat keluar rumah. Kulit muka aku tak dijamah matahari, dah lama.


Pelik, sedih dan rasa nak marah.


Nak marah siapa? Semua, terutama diri sendiri. Macam dah lama sangat aku abaikan diri sendiri, dengan baju T leher bersimpang siur.


Ah, bukan tak ada baju lain. Berlambak. Tetapi, tetapi yang ini juga aku sarung ke badan. Arghhh... Badan pun nampak kembang dengan jayanya. Automatik, aku jadi tambah rendang. Huhhh!


Aku rindu.


Rindu aku yang dulu.


Nampak serabut, tetapi aku happy je dengan dunia sendiri.


Tak banyak minta, tak banyak berbunyi. 


Penat aku membuta, lapar melantak apa je yang nampak dalam peti ais.


Simple.


Aku rindu... Aku dulu-dulu.


Kadang-kadang, rindu itu datang.

Isnin, 30 November 2020

Sesal

Biar berjuta kali, aku masih berasa menyesal mengenalinya. Menerima dia masuk dalam hati lalu bebas hidup dalam dunia kecilku.


Aku benci mengingatkan ketololanku, sewenang-wenangnya menerima dia dalam hidupku. Sedang dia hanya sekadar mahu tempat bermain buat menghilang segala bosannya.


Aku pernah, pernah tidak mahu peduli akan rasa itu. Tetapi, gagal sepenuhnya. Aku tak mampu... Bukan... Bukan... Aku bodoh kerana masih setia menyimpan rasa sakit yang bersangatan itu dalam ruang ingatku.


Aku biar rasa itu bebas menyihir hidupku bertahun lamanya. Tak pernah terlepaskan.


Aku yang membiarkan kesakitan itu terus melukai hati dan hidupku.


Ya, akulah si tolol itu. Si lembik yang kalah dengan tipu daya nafsu sendiri.


Si bodoh yang tersungkur dek kenaifan sendiri.


Bukan salah dia.


Dia sebijaknya manusia, menyihir hatiku sehingga jadi bodoh, tolol dan lembik.


Hatiku sengsara kerana keterlanjuran perbuatanku sendiri.


Aku menginjak-injak maruahku sendiri.


Hingga terlantar di sini, bersisa hati rabak dek sumpahan sendiri.


Pun, sesalku ini haruskah aku usung hingga ke pusara?



Rabu, 25 November 2020

Blog & Pencen?

anyaberkut / Getty Images



Seorang teman bertanya, "Eh, lama tak menulis blog? Dah pencen ke?"

Terdiam.

Dalam kepala, eh... Dia ni baca blog aku? 

"Sekarang ni mana ada orang baca blog macam zaman dulu. Ni zaman media sosial, click semua info depan mata. Tak payah nak masuk blog. Cukup post kat Instagram, Fb atau Twitter jek."

Senyum. Malas nak kata apa.

Paling penting, tak perlu nak jawab soalan dia pasal blog tadi 😆😆😆

Khamis, 21 Mei 2020

Covid19 + #PKP = #Bosan ?



Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( #PKP ) ada yang merungut kebosanan sampai tahap kemurungan kerana terpaksa berkurung di rumah.

Aku?

Ya, dengan #workformhome ( #WFH ), awak fikir saya ada masa untuk rasa bosan, kemurungan? Serius tak sempat. Masa 24 jam rasa berjalan begitu cepat, sampai tak boleh nak curi masa tidur waktu siang.

Lepas Subuh, terus terjah dapur. Siapkan apa yang patut untuk keluarga. Kemudian kemas rumah, dan seterusnya 'masuk kerja'.

Tengah hari, lari masuk dapur semula. Kelentung-kelentang seorang diri, siap... Lari 'masuk kerja' semula.

Petang, kenalah ada makanan petang jugak maklumlah semua berkumpul dalam rumah. Bosan, makan. Tukang masak ni bukan saja tak sempat bosan, tak sempat nak rasa penat tu macam mana.

Stress kerja tak pernah habis, tapi seronok sebab semua ada depan mata. Semua sihat dan dapat makan dengan baik.

Alhamdulillah.

Covid 19 dan #PKP ni banyak hikmahnya dan pengajarannya untuk mendepani hidup pada masa depan.

Teruskan #kitajagakita #kitatolongkita


Khamis, 14 Mei 2020

Melaksam Homemade Di Dapu


Hahaha... Headline tak menahan. Ini semua poyo belaka, tapi kalau tak poyo tak jadi. Dok berangan semata, alamatnya masuk angin keluar kentut ajelah. Wakakaka.

Sebenar-benarnya, dah lama sangat nak cuba buat Laksam sendiri. Koleksi resipi laksam tak tahu berapa banyak dalam folder note, buatnya haram sekali. Kesudahnya, beli dan beli. Sedih!

Bagai dirasuk hantu terlebih vitamin, bersaunalah aku di dapur kecilku. Sambil-sambil garu kepala, tak sangka menjadi juga Laksam Homemade buatanku sendiri.

Ya Tuhan, rasa nak sujud syukur atas lantai dapur dek teruja yang menguasai diri. Serius ni, weh. Tapi, jujur aku cakap, nak buat laksam ni kalau kau tak cukup rajin dan kental, toksahlah. Buat membazir bahan je. Tepung bukan murah.

Resipi, aku kutip satu dari banyaknya dalam koleksi yang disimpan. Tengok bahan dan cara buat, macam senang. Hakikatnya, tidak ye. Membuatnya perlukan kemahiran tersendiri yang hanya akan kau dapat daripada cuba buat, cuba buat dan cuba buat lagi. Tak boleh putus asa.

Aku sendiri, 2-3 kali percubaan melayangkan adunan laksam atas lapik kukusan, sungguhlah... Rasa nak menangis sebab nampak macam tak akan menjadi aje. Ada tang kering permukaannya. Ada ayang patah lepas digulung.

Cobaan...

Tak apa, tak cuba tak tahu.

Jadinya, aku berazam untuk cuba lagi. Bila? Tunggulah kerajinan tahap menara KL datang dalam merasuk wahahaha.

Nah, resipi kalau nak cuba buat sendiri. Pesanan aku, sila bertabah ye. Sabar itu kunci kejayaan melaksam hahahaha.

Resipi Laksam.

Bahan laksam:
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3 cawan air panas (baru masak)
2 cawan air (sejuk biasa)
Secubit garam
Minyak untuk sapu loyang laksam

Caranya buat:
1. Panaskan periuk kukusan.
2. Dalam mangkuk besar, campur air panas dan air sejuk. Kemudian masukkan garam, tepung beras juga tepung gandum. Gaul sehingga sebati, tapis.
3. Sapu loyang dengan sedikit minyak.
4. Tuangkan adunan laksam (jangan tebal atau nipis sangat).
5. Kukus sehingga adunan laksam masak (nampak menggelembung macam jerawat).
6. Tunggu sejuk sikit, gulung.

** Kalau permukaan laksam nampak kering, itu tandanya terlebih kukus.
*** Kalau laksam patah/pecah selepas digulung, mungkin kurang air dan terlebih tepung.



Adunan laksam, tak cair tak pekat. Entah, aku pun keliru. 
(Tepung beras, tepung gandum, secubit garam.)


Dah sejuk boleh gulung.



Selepas 2-3 kali patah, ini nampak macam menjadi. 
Taraaa... Alhamdulillah, tak sia-sia projek melaksam.


Ulam, pelengkap laksam.


Ini kalau tak ada, memang tak 'mari' dan tak padulah laksam.
Sambal ni sengaja kasi pedas (cili kering, belacan dan garam).


Kuah Laksam (Ikan Sardin segar -rebus, santan pekat, 
bawang merah, halia, lada hitam, garam, gula dan asam gelugor)



Bahan Kuah Laksam:
8 ekor ikan sardin segar, rebus dengan garam dan asam gelugor
Santan secukupnya
5 ulas bawang merah
Sedikit halia
Sedikit lada hitam
2 keping asam gelugor
Gula dan garam secukup rasa

Cara buat:
1. Asingkan isi ikan dan tulang, kisar halus.
2. Tumbuk atau kisar bawang bersama halia dan lada hitam.
3. Dalam periuk, masukkan isi ikan, bahan tumbuk, santan, asam gelugor dan air secukupnya.
4. Apabila kuah mendidih, padamkan api. Bubuh garam dan gula secukup rasa.

Bahan sambal:
Cili kering, rebus
Sedikit belacan, dibakar
Sedikit garam

Cara buat:
Tumbuk atau kisar cili bersama belacan dan garam (tanpa air).




Jumaat, 8 Mei 2020

Chocolate Cake Sedap


Semalam, teringin betul nak makan kek coklat. Kebetulan, sudah lama tak buat dek penyakit MALAS.

Lepas Isyak, masuk dapur. keluarkan dari kabinet segala bahan. Alhamdulillah, semua ada. Telur pun dari pagi lagi aku dah keluarkan dari peti sejuk.

Sukat tepung, baking soda, baking powder, gula, serbuk coklat, susu segala. Lebur dalam mangkuk adunan. Tak guna mixer pun, malas. Ye, malas sangat tapi nak makan. Hadoiii!

Tak sampai 30 minit, tibalah masa untuk bakar adunan kek.

Lepas masukkan loyang adunan kek dalam oven, basuh dan kemas semua barang yang digunakan tadi. Kemudian tengok TV.

Dalam 15 minit macam tu, aku masuk dapur nak minum air. Sekali aku tengok elok je tiga biji telur duduk beratur dalam mangkuk.

Astaga... Tak bubuh telur dalam adunan kek tadi.

Macam mana ni? Menjadi ke keknya?

Hala...Hala...Halaaa... Buat hal betullah.

Maka, bermulalah debaran menunggu kek masak.

Cukup 40 minit...

Taraaa...

Alhamdulillah, kek naik elok. Tak bantat. Nampak moist dan sedap (aku ngap tengah panas berasap tu hahahaha).

Syukurlah, kek tak bertukar jadi lempeng.

Kalau kau orang nak cuba kek coklat sedap, boleh ikut resipi ni. Simple aje, tapi hasilnya sangat wowww! Aku follow resipi (google) ni, cuma terbabas tak letak telur tapi tetap sedap.

INGREDIENTS
CHOCOLATE CAKE
  • 1 3/4 cups all purpose flour, or (plain flour), (8 oz | 227 g)
  • 3/4 cup unsweetened cocoa powder, (2.6 oz | 75 g) or regular Hershey's cocoa powder
  • 1 1/2 teaspoon baking powder
  • 1 1/2 teaspoon baking soda, (or bi-carb soda)
  • 1 teaspoon salt
  • 2 cups white granulated sugar, (14 oz | 410 g)
  • 2 large eggs
  • 1 cup milk, (250 ml)
  • 1/2 cup vegetable oil, (125 ml)
  • 2 teaspoons pure vanilla extract
  • 1 cup boiling water (250 ml)
CHOCOLATE BUTTERCREAM FROSTING
  • 4 oz butter, (120 g | 1/2 cup)
  • 2/3 cup unsweetened cocoa powder, or regular HERSHEY'S (2.4 oz | 65 g)
  • 3 cups powdered sugar, (confectioners or icing sugar)
  • 1/3 cup milk
  • 1 teaspoon pure vanilla extract 
INSTRUCTIONS
CHOCOLATE CAKE
  • Preheat oven to 350°F (180°C) standard or 320°F (160°C) fan/convection.
  • Lightly grease 2x 9-inch (22cm) round cake pans with butter. Line base with parchment paper.
  • Sift together flour, cocoa, baking powder, baking soda and salt into a large bowl. Whisk in sugar, then add eggs, milk, oil and vanilla. Whisk well to combine until lump free, about 30 seconds.
  • Pour boiling water into batter, mixing well. Cake batter is thin in consistency.
  • Pour batter into cake pans and bake for 30-35 minutes or until a wooden skewer inserted into the centre comes out clean.

  • Let cool for 10 minutes, then turn out onto wire racks to cool completely before frosting.
CHOCOLATE BUTTERCREAM FROSTING

  • Melt butter, then whisk in cocoa powder. Alternately add powdered sugar and milk, beating to spreading consistency (add a small amount of additional milk, if needed). Stir in vanilla.

Rabu, 6 Mei 2020

Kahwin, Asal Ada Laki?



Seseorang pernah cakap pada aku beberapa tahun dulu. Lebih kurang begini katanya, "Alah... Kau Kahwin sajalah, tak payah memilih sangat. Janji ada laki, kau pun umur dah berapa!"

Serius, waktu tu aku teringin betul nak hempuk buah pinggang dia 4-5 das. Cakap main hembus saja, tak pandang kiri kanan.

Si dia itu tak jauh jugak umurnya dengan aku, beza dalam 3-4 tahun macam tu. Ye, jelas... Dia lebih mudalah daripada aku. Still, aku tak boleh terima kata-kata dia.

Aku tak kahwin bukan sebab tak laku-laku. Aku tak kahwin sebab aku belum rasa nak kahwin. Bukan tak ada orang nak aku, ada... Senang cakap, kalau nak kahwin memang kena pilih antara mereka.

Tapi, sebab aku belum rasa nak kahwin dan perlu kahwin, jadi aku tak fikir pun hal kahwin atau suami. Aku sibuk fikir macam mana nak capai impian-impian hidup aku yang belum tercapai.

Dan dia, masih tak puas hati... Habis kawan yang lain 'dihasutnya'. Sampaikan Mat Nepal yang jadi jaga kat office pun nak dipasangkan dengan aku. Huhhh... Sampai aku fikir, siapa sebenarnya yang terdesak nak kahwin ni? Aku ke dia?

Alhamdulillah, aku walaupun nampak macam tak laku waktu tu... Tak pernahlah gatal berskandal dengan suami, tunang atau boyfriend sesiapa.

Walaupun geng lepak aku lebih ramai lelaki daripada perempuan, tetapi mereka hormat aku. Tak pernah sentuh bab-bab peribadi. Selalu beri aku kata-kata semangat untuk aku capai impian.

Ye, aku tahu... Perempuan ni ada dateline. Kalau umur dah banyak nanti susah nak mengandunglah. Kalau umur dah banyak, baru nak beranak kecik nanti payah... tak larat.

Aku simple aje, jodoh, rezeki dan mati itu semua ketentuan Tuhan. Sampai masanya, ada. Kalau tak ada, aku redha.

Bukan aku tak nak kahwin dan aku tak ada pun sampai tahap fikir tak mahu kahwin. Cuma, belum masanya.

Bila tiba masanya, aku palulah kompang😆😆😆

Isnin, 4 Mei 2020

Perempuan Single


Kawan aku pernah tanya soalan ni, "Best ke jadi single. Hidup sebagai perempuan solo, seronok?"

"Best je, kenapa?" Laju je aku jawab waktu tu, sambil hirup hot cappuccino.

"Apa yang best sangat?"

"Mungkin sebab kerjaya aku dan aku ni nampak macam sejenis perempuan introvert. Aku introvert ke? Entah... Tapi, aku rasa bukan. Cumanya, dalam banyak situasi aku rasa lebih selesa hidup solo (single)."

"Maksud kau?"

"Ye, aku mungkin tak ada masalah sangat bab urus rumah tangga. Aku reti masak, rajin jugaklah kemas dapur, cuci baju walaupun malas lipat. Tapi, aku ni susah orang sekeliling nak faham walaupun paling rapat.

"Aku takut, risau pasangan aku tak terfahamkan personaliti aku yang boleh berubah sekelip mata. Kadang tanpa sebab."

"Jadi, kau macam selesa untuk single dan rasa seronok macam tu." Tanya dia lagi. Laju aku angguk.

"Kerja aku tak tentu masa. Otak aku ni pulak macam tak reti rehat, 27 jam berfikir macam-macam. Kadang, aku tengah sembang tapi otak berfikir hal lain. Orang tidur, aku jadi burung hantu. Aku diam, bukan sebab aku marah pun. Entah... Cuma diam dan berfikir macam-macam. Itu orang ramai salah faham pasal aku. Gaduh, masam muka... Aku penat, lemas."

"Faham." Kata dia.

Ya, begitulah.

Seorang aku,  ada masanya sangat complicated.

Khamis, 30 April 2020

Talk

Please...

Forgive me if I don't talk much at times. It's loud enough in my head.

Sometimes



"I'm not mad or depressed or antisocial. I just need to not talk to anyone for a while. And that's okay."

Sometimes, I just need down time and I’m happy to cosy up at home. But sometimes I’m sad and I withdraw.


Isnin, 27 April 2020

"Didik anak jadi terkenal dunia dan akhirat. Supaya kita semua jadi Duta Islam dan bawa akhlak Nabi saw." - Ebit Lew

Saya suka membaca nukilan di bawah ini. Diulang siar daripada lama facebook pendakwah tersohor, Ustaz Ebit Lew

Sungguh menginspirasi dan memotivasikan.

***

Pasangan bahagia - Ustaz Ebit Lew dan Puan isteri.



Syukur pada Allah yang Maha Kaya dan Maha Penyayang. Berkat doa mak ayah. Berkat cinta kasih sayang pada bidadari. Doa ramai orang baik-baik. 
Allah beri rezeki mencurah-curah. Ramai tanya saya soalan bukan-bukan. Saya bekerja dan berniaga dah lebih 10 tahun.

Dulu saya tidur masjid. Pernah tidur atas guni. Dari kecil berdakwah dan menyebarkan kasih sayang. Soalan paling banyak saya dengar nanti kau sibuk tolong orang sana sini habis hilang dunia. Kau nak jadi apa dah besar. 

Sampailah universiti. Ramai tak nak ambil saya kerja sebab selekeh. Dengan janggut kopiah lagi. Kasut pun buruk. 

Dulu sekolah stokin pun takde. Masa tu susah betul. Duit gaji dekat mak semuanya rm800 dengan banyak kerja. 

Saya walau ada sepinggan nasi share dengan kawan. Ada orang masuk rm2 dekat poket sebab tolong isi minyak. Saya menangis dapat rm2 tu. Besar nilai untuk saya.

Saya mula kerja dengan Dato Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Hanim. Sebagai trainer atau motivator. Program korporat teambuilding selama 4tahun. 

Selepas itu saya mula buat sendiri. Syukur syarikat minyak dan kapal buat teambuilding dengan saya. Syarikat kerajaan ada buat program untuk seluruh kementerian. Program keluarga sunnah sekali hadir 7000 orang. Prokids remaja. 

Saya tour seluruh Malaysia. Syukur ramai yang mendapat manfaat. Buat dekat hotel 5 bintang dan dewan besar. Persiapan macam konsert sebagai daya tarikan dan lebih selesa. 

Teambuilding training sebelum ini mereka bayar syarikat luar negara dan syarikat besar. Mereka mula mencari yang ada nilai islamic. 

Saya ada 3 restoren Paramount Coffee House. Sebenarnya dah plan nak buka seluruh Malaysia. Dan nak buka di luar negara. Belum sempat jer. 

Butik hari pertama buka sale habis jubah semua. Selepas itu makin semangat. Syukur rezeki makin melimpah ruah. 

Saya tulis 9 buku. Semua buku laris. Buku yang dah 8 tahun tulis masih laris sampai sekarang.

Tambahan lain Youtube dan Facebook. Rupanya youtube dan facebook bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan dekat fb dengam youtube. 

Syukur saya ada 2 program Tv. 2 tahun dah. Door to door ebit lew astro aosis. A bit with ebit di Tv Al Hijrah. 

Dua program saya sendiri dah 2 musim. Dapat juga bayaran syarikat media untuk iklan sedikit sebanyak. 

Staf kakitangan tetap saya ada 55 orang. Ramai juga yang lain dekat 40 orang on off sukarelawan saya yang ada bayaran juga. 

Begitulah rezeki Allah beri. Tapi saya yakin Allah beri semua sekali. 2 perkara penting. Rajin dan Yakin. Tiada tempat dunia dan akhirat untuk orang malas. 

Yakin pada Allah. Allah beri rezeki. Dia punya semua. Tiada kita punya. Jaga solat awal waktu. Bila susah selalu beri masa solat sunat. Tahajud dan Dhuha. Jaga mak ayah dan mertua dengan baik. 

Jangan kedekut dengan isteri dan anak-anak. Beri kasih sayang. Pelukan dan kasih sayang. Tanpa doa bidadari saya dan anak-anak pasti tak dapat semua ini. Allah beri rezeki.

Dulu ingat lagi selalu bila jumpa orang susah baju buruk pergi masjid. Saya tanggal jubah, saya beri dekat dia. 

Dia nak selipar beri selipar. Sampai orang kata saya bodoh. Kau susah nak tolong orang. Saya sedih. Tapi saya yakin Allah pasti balas. Sekarang anak jalanan saya bawa shoping dekat sogo. 
Tiada yang berkuasa melainkan Allah. Dunia sementara sahaja. Akhirat selamanya. 

Miskin atau kaya bukan pada rumah kereta. Tapi pada hati. Walau ada sepinggan share dengan orang lain. Sahabatku percayalah disebalik ujian ada rahmat. 

Barangsiapa bekerja untuk membantu seramai mungkin orang miskin dan anak yatim dia sedang berjihad di jalan Allah. 


Penting didik anak rajin. Didik anak jadi orang kaya takwa. Didik anak jadi pemimpin. Didik anak jadi terkenal dunia dan akhirat. Supaya kita semua jadi Duta Islam dan bawa akhlak Nabi saw..-ebitlew


Rezeki Ramadan



Dalam dok fikir nak buat kuih apa untuk berbuka. tiba-tiba bunyi pintu diketuk.

"Cik, ini ada sumbangan Ramadan daripada pihak Perbadanan Perumahan AKTM. Selanmat berpuasa dan berbuka nanti,"

Alhamdulillah. Dihulurnya sekotak kurma, karipap lima ketul dan pulut kuning bersama rendang daging. 

Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan belas ehsan-Nya.
😇
Terima kasih Perbadanan Perumahan AKTM1.

Jadinya, tak perlu difikir nak buah pencuci mulut apa untuk berbuka. Siap ada pulut kuning bagai. Allahu... Nikmati DIA yang mana mampu aku dustai?

Khamis, 23 April 2020

Ramadan + #PKP



Alhamdulillah.

Diberi-Nya peluang dan ruang menikmati bulan penuh berkah, Ramadan. Kali ini sangat berbeza kerana kita semua menjalaninya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan ( #PKP ) - Covid 19.

Siapa pun, tak mungkin pernah terfikir akan menempuh situasi begini. Pertama kali dalam sejarah hidup. Pun, bersyukurlah DIA Yang Maha Baik memberi kesempatan kepada kita bertemu dan bersama lagi Ramadan yang mulia ni. Alhamdulillah, syukur nikmat-Nya.

Tanpa bazar Ramadan dan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid, tentunya rasa berbeza. Ini pengalaman, bakal jadi kenangan bermakna dalam sejarah hidup kita.

Tahun sebelumnya pun memang aku jarang sangat redah bazar Ramadan. Hanya sesekali singgah untuk beli air tebu atau biryani kambing. Selalunya, memang masak sendiri versi apa adanya, janji pedas dan kenyang.

Jadi, tahun ni tiada bezanya. Cuma, tak merasalah air tebu atau lauk kambing. Tak apalah, janji sentiasa sihat dan bertenaga untuk berpuasa.

Kepada kalian semua, selamat berpuasa. Banyak berdoa semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan-Nya. Dijauhkan dan diselamatkan daripada serangan hendap si Corona Virus.

Aamiin.

Rabu, 22 April 2020

Masa Menghadam Hikmah


Sebenarnya, sudah cantik segala susunan Tuhan. Tinggal lagi, kita belum nampak hikmah disebalik segala aturan-Nya itu.

Jadinya, rasa marah, geram, kecewa dan sedih dek ketentuan Tuhan yang tak seiring kehendak kita itu memang wajar.

Aku sendiri, beberapa kali melaluinya. Marah Tuhan, maki diri sendiri. Pertikaikan itu ini, mengapa mesti begitu dan begini. Kalau aku buat begini, mesti tak akan jadi begitu.

Begitulah.

Kita manusia, acapkali terbabas dek bisikan hati dan perilaku diri. Kita fikir, kita betul. Kita fikir, memang kita wajar untuk dapat apa yang selayaknya kita punyai.

Sayangnya, lain pula ketentuan Ilahi.

Kita terpaksa mendepani sesuatu keadaan (misalnya) yang tak sesuai keinginan. Kita terpaksa redah. Apabila terpaksa, kita marah. Kecewa dan sedih. Wajar.

Ambillah masa untuk menghadam segala yang harus kita tempuhi. Akan sampai waktunya, kita akan nampak juga faham mengapa Dia aturkan begitu dan begini.

Selagi mana kita yakin dan percaya, setiap ketentuan-Nya ada hikmah yang tiada siapa pun dapat menjangkakannya.

Sungguh, rahsia perjalanan hidup setiap kita ini adalah dalam genggaman-Nya.

Rezeki, jodoh, ajal dan maut itu tiada siapa dapat meramalkan, semua dalam hijab-Nya.

Tugas kita sebagai hamba Dia, doa, usaha dan tawakal. Pada masa sama, dalam apa keadaan sekalipun tetaplah bersangka baik kepada-Nya.

Lihat saja pandemik Covid-19 yang sedang kita depani ketika ini, tiada siapa menduga seluruh dunia terkesan. Tidak kira bangsa, agama, negara. Apatah lagi taraf hidup, jawatan dan kuasa.

Dan, pastinya ada hikmah tersembunyi disebalik musibah yang melanda.

Ambillah ibrah daripada musibah ini.

Selasa, 21 April 2020

Berpisah Jua



Jawatan dan kuasa tidak melekat di badan hingga akhir hayat. 

Suatu saat berpisah juga, sama ada secara sukarela atau paksa. 

Berpada-pada itu kunci ingatan buat muhasabah diri, tiada pinjaman yang kekal abadi. 

Termasuk nyawa sendiri.

Ahad, 19 April 2020

Sambal Ayam Berempah Ala Resipi Moyang

Beberapa minggu lepas ada tertengok rancangan TV - Resipi Moyang di Hypp Inspirasi versi ulangan.

Dikongsi resipi dan cara masak Sambal Ayam Berempah @ Sambal Berempah Ayam. Nampak macam sangat menyelerakan, mungkin juga sebab warna sambal atau sebab tengah lapar 😅😅

Sayangnya, tertengok sudah separuh jalan. Jadi, resipi penuh tak ada. Hari ni, rasa teringin nak cuba. Jadi terpaksalah memandai reka resipinya.

Memandangkan namanya sambal, jadi aku lebihkan cili kisar. Bahan lain adalah gabungan yang nampak dalam rancangan TV tu dan pandai-pandai sendiri😆😆

Aku guna suku ekor ayam saja, maklumlah nak cuba-cuba. Kalau kena selera, kita buat lagi nanti.

Bahan-bahan yang digunakan dalam Sambal Ayam Berempah ni antara lain;

Suku ekor ayam
2 labu Bawang merah
4 ulas bawang putih
Halia
Lengkuas
Serai
Kunyit hidup
Minyak untuk menumis
15 sudu besar cili kisar
Air secukupnya
1 sudu besar kerisik
Gula melaka dan garam secukup rasa
Daun kunyit, dihiris
Asam gelugor/Asam jawa

Cara masak;
1. Dalam mesin pengisar, kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup dan serai bersama air secukupnya.

2. Panaskan kuali, masukan minyak masak secukupnya.

3. Apabila minyak cukup panas, bubuh bahan kisar, cili kisar, gula melaka dan tumis sehingga garing.

4. Kemudian, masukan ayam, sedikit garam dan sedikit air.

5. Masak sehingga ayam empuk.

6. Apabila ayam empuk, masukan asam gelugor, kerisik, daun kunyit dan garam secukup rasa. Gaul sebati dan didihkan seketika. Siap.

Rupa Sambal Ayam Berempah yang siap dimasak. Cantik warnanya, 'kan😋😋

Lauk ni rasanya lebih kurang macam rendang sikit, tetapi versi pedas dan tanpa santan. Makan dengan ketupat atau lempeng memang sedap.

Lain kali nak cuba letak serai tanpa dikisar, tanya dititik. Kemudian, tukar daun kunyit pada daun limau purut. Mungkin rasanya jauh sikit daripada rendang😀😀





Jumaat, 17 April 2020

Berharap Dengan Sangat



Penuh harap dengan sangat, semoga mendapat belas ehsan daripada DIA Yang Maha Baik agar kehidupan kita dapat dijalani seperti sebelumnya.


Dengan menjadi hamba-Nya yang lebih baik, menghormati, menghargai dan mensyukuri segala nikmat yang diberi dipinjam.


Tuhanku Yang Terkasih, Engkaulah tempat kami bergantung dan berlindung. Kuatkan iman kami mendepani ujian-Mu ini. 


Sesungguh semua yang kami tempuhi selama ini dan detik ini sentiasa dalam PengetahuanMu.

Khamis, 16 April 2020

Pandemik Covid-19 Buat Dikenang Nanti

Nak simpan kat sini dinding ini jugak la.. kenangan yang tak akan dilupakan.. Buat aku baca di tahun mendatang, kalau panjang umur 😬

Tak akan sesekali aku lupa ....
18 MAC - 31 MAC 2020 fasa 1
01 APR - 14 APR2020 fasa 2
15 APR - 28 APR 2020 fasa 3

Perintah Kawalan Pergerakan seluruh 🇲🇾...
📍 harga minyak jatuh sehingga RM1.30/liter
📍Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
📍Semua sekolah dan pendidikan dilaksanakan di atas talian.
📍Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan
📍Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan
📍 Restoran dan kedai - kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja. 
📍Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
📍Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
📍Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta 
📍 Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan.
📍Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan.
📍Tiada lagi jemaah di masjid, dan rumah - rumah ibadat ditutup.
📍Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu dibenarkan.
📍Taman permainan kanak - kanak ditutup.
📍Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
📍Kekurangan alat bantuan pernafasan
bagi pesakit kritikal.
📍Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
📍Rak - rak di kedai menjadi kosong.
📍Kilang - kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
📍Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
📍Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
📍Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
📍Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
📍 Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
📍Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
📍 Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
📍Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
📍 "Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang" 

Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020 😭😭😭😭

Kenapa saya copy paste status ini?
Kerana, satu hari nanti, status ini akan memberi peringatan kepada aku supaya menghargai nyawa ini dan orang yang disayang.

\🤗🤗🤗

Nikmat mana lagi yang telah kita dustai?

Bersyukurlah. Dan sentiasa berterima kasih

Lakukan kebaikan antara satu sama lain - sayangi antara satu sama lain - dan sentiasa menyokong antara satu sama lain

Kita semua adalah satu 
❤️🇲🇾❤️🇲🇾❤️

Hanya bebelan tentang cerita, rasa yang pernah kita punya. Mungkin sama, cuma tak serupa.


NIAN JIWA

YANG LAINNYA